Penipuan Dalam Perniagaan
Dalam Islam, apa sahaja yang dilakukan dengan niat kerana Allah dan
cara pelaksanaannya menepati syariah dikira sebagai ibadah dan layak
mendapat pahala daripada Allah. Untuk meraih pahala ibadah menerusi berniaga maka perlu menjaga adab
dan etika yang digariskan oleh Islam. Antaranya menjaga adab dan etika
apabila berurusan dengan pelanggan.
Dalam apa jua perniagaan, pelanggan adalah aset yang penting.
Justeru, Islam menggariskan perlunya menjaga adab-adab dan etika-etika
perhubungan semasa berurusan dengan mereka.
Hak-hak mereka sewajarnya dijaga demi mencapai kesejahteraan dan keberkatan dalam urusniaga tersebut. Antara nilai yang perlu ada ketika bermuamalat dengan pelanggan ialah
hendaklah sentiasa memastikan niat yang ikhlas ketika berurusan dengan
seseorang pelanggan tanpa ada sebarang 'hidden agenda' ketika
bermuamalat melainkan untuk mendapatkan keredaan Allah Taala.
Peniaga juga tidak boleh menindas pelanggan mereka dengan mengambil
harta-harta mereka dengan cara yang salah (batil) seperti yang
ditegaskan oleh Allah Taala menerusi firmanNya yang bermaksud: Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta
kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya),
kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di
antara kamu…(an-Nisa': 29)
Peniaga juga perlu mengamalkan sikap adil dalam semua perkara apabila
berutusan dengan para pelanggan. Sentiasa berlaku adil kepada setiap
pelanggan ialah memberikan hak yang sepatutnya kepada mereka, menunaikan
semua janji dan memastikan segala manfaat adalah halal. Ia mestilah
bertepatan dengan makna adil, iaitu meletakkan sesuatu itu pada
tempatnya yang betul.
Berlaku adil juga bermaksud hendaklah sentiasa bersifat amanah dan
benar dalam segala urusan dan aktiviti. Membantu pelanggan semasa
berurusan dengan mereka dengan penuh adab sopan, persaudaraan dan
kasih-sayang.
Menunaikan setiap janji kepada pelanggan sesuai dengan kaedah bahawa
"Orang-orang Islam dipegang pada janji mereka". Memastikan sumber
pendapatan pelanggan adalah halal di sisi Islam.
Di antara adab dan etika ketika berurusan dengan pelanggan juga ialah
tidak menipu para dalam aktiviti perniagaannya. Islam adalah agama yang
sangat mementingkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.
Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan penganiayaan sehingga
menyebabkan timbulnya permusuhan serta perselisihan dalam masyarakat.
Oleh yang demikian, Islam menyuruh umatnya berlaku adil kepada manusia
sama ada Islam atau bukan Islam.
Kejujuran adalah merupakan elemen yang sangat penting dalam menjamin
sesebuah perniagaan itu maju, berjaya dan yang lebih pentingnya ianya
diberkati oleh Allah SWT. Perkara ini sejajar dengan ajaran Islam
sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW: Dua orang yang
sedang melakukan jual-beli dibolehkan tawar-menawar selama belum
berpisah; jika mereka itu berlaku jujur dan menjelaskan (ciri
dagangannya), maka mereka akan diberi barakah dalam perdagangannya itu;
tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (ciri
dagangannya),barakah dagangannya itu akan dihapus. (riwayat Bukhari)
Dr. Thomas Stanley, penulis buku The Millionaire Mind
menyatakan bahawa antara faktor utama yang menyebabkan seseorang itu
dapat memperolehi kejayaan dalam perniagaan adalah jujur dengan semua
orang. Beliau memperolehi jawapan itu daripada individu-individu yang
berjaya menjadi jutawan yang telah ditemu bual.
0 Ulasan